Kebolehlaksanaan nuklear sebagai sumber tenaga jangka panjang dikaji

KUCHING: Kerajaan sedang meneliti kebolehlaksanaan penggunaan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga jangka panjang, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadilah Yusof.

Katanya, langkah itu bagi menjamin keterjaminan bekalan tenaga negara yang bersih dan mampan.

Beliau berkata, keputusan dasar telah dibuat untuk mempertimbangkan tenaga nuklear, namun pelaksanaannya dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 10 tahun, bergantung kepada pelbagai faktor teknikal, keselamatan dan penerimaan awam.

“Kita telah melantik MyPower sebagai Nuclear Programme Office (NPO) bagi menjalankan kajian komprehensif merangkumi aspek teknologi, keupayaan sumber manusia, keselamatan, kesan alam sekitar dan kebolehan membiayai projek ini,” katanya selepas merasmikan MUSCS Pickleball Arena Petra Jaya, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menambah, sebarang pelaksanaan juga perlu mematuhi 18 perjanjian antarabangsa berkaitan tenaga nuklear.

Ketika ini katanya, Semenanjung Malaysia masih bergantung kepada sumber tenaga berasaskan bahan api fosil seperti arang batu, gas, diesel dan hidro, manakala Sarawak sudah mencapai lebih 70 peratus penjanaan tenaga menerusi hidroelektrik.

Bagaimanapun, beliau mengakui sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hidro, biogas, biofuel dan biomass masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan tenaga negara secara menyeluruh.

“Sebab itu, untuk jangka masa panjang, nuklear menjadi satu pilihan yang sedang dikaji demi menjamin tenaga yang mampan, mampu milik dan bersih,” katanya lagi. – UKAS