Persatuan Kedayan Sarawak perlu dihidupkan semula

LIMBANG: Persatuan Kedayan Sarawak (PKS) yang pernah diwujudkan sebelum ini, perlu dihidupkan semula.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata PKS pernah diwujudkan oleh pengurusan terdahulu namun dibatalkan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Katanya, persatuan itu amat penting bagi menjaga kebajikan kaum Kedayan dan melalui persatuan ini mereka boleh bekerjasama dengan persatuan lain untuk kebaikan dan hala tuju.

“Saya sudah berbincang dengan beberapa orang pemimpin suku kaum Kedayan supaya persatuan dihidupkan semula dan buat permohonan baharu supaya dapat di daftar semula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Penangguhan Pesta Makan Tahun Kedayan 2025 di Dewan Kampung Tuna Gumaya Benuas, Limbang, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, Pengerusi Persatuan Kedayan Limbang (PKL) Kaunselor Sufian Mohat dan tetamu lain.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak menjelaskan PKS tidak boleh menjalankan peranan secara bersendirian dan perlu bekerjasama dengan persatuan lain untuk terus berkembang dan maju.