BINTULU: Projek Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Hospital Bintulu dijangka siap dalam masa terdekat ini.
Anjung Kasih ini akan menyediakan 67 katil untuk pesakit serta bilik penginapan, ruang solat, ruang rehat, bilik mandi, tandas dan ruang makan.
Kemudahan terbabit merupakan yang pertama menerima tajaan daripada syarikat Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) dan keempat di Sarawak selepas di Hospital Umum Sarawak (HUS), Hospital Sibu dan Hospital Miri.
InI hasil kerjasama strategik antara BPHB dan YKN susulan termeterainya memorandum persefahaman kedua pihak pada 19 September lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN, Dato Sri Nancy Shukri mengadakan lawatan ke tapak projek itu di sini, semalam.
Lawatan bertujuan menilai kemajuan projek yang bakal menyediakan kemudahan tempat tinggal sementara kepada ahli keluarga pesakit yang menjalani rawatan di hospital berkenaan terutamanya dari pedalaman dan berpendapatan rendah.
Turut hadir ialah Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad(BPHB), Ruslan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron dan Pengarah Hospital Bintulu, Dr. Suzalinna Sulaiman.
