KUCHING: Sarawak perlu mentransformasi sistem pengurusan kewangan secara lebih cekap, telus dan mampan untuk menghadapi cabaran global termasuk perubahan iklim, gangguan digital dan geopolitik yang tidak menentu, kata Premier Sarawak.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sistem pengurusan kewangan yang cekap dan telus mesti berdaya tahan, mampan, berketelusan dan berinovasi dalam setiap tatakelola awam awam.
“Sungguhpun berhadapan dengan cabaran global, namun Sarawak masih kekal teguh dari segi fiskal,”katanya merasmikan Persidangan Transformasi Kewangan Sektor Awam 2025 di sini.
Beliau berkata, Sarawak mengutamakan komitmen dalam tatakelola kewangan mampan dan transformasi digital di bawah Strategi Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
Untuk itu Sarawak masih mengekalkan risab kewangan yang sihat, melabur dalam infrastruktur jangka panjang dan modal sosial dan meneruskan perolehan pendapatan melalui makenisme seperti SST, kerangka perdagangan karbon dan perkongsian awam dan swasta, katanya.
Beliau berharap persidangan sehari itu mengingatkan sektor awam supaya bukan setakat menguruskan kewangan tetapi sebagai menunaikan amanah rakyat.
“Mari kita bekerjasama untuk memastikan sistem kewangan awam diuruskan mengikut cara moden, berdaya tahan dan tersedia untuk masa akan datang,” tegas beliau.
Menurut Premier Sarawak, masa depan ekonomi Sarawak bergantung kepada keupayaan sektor awam mengurus wang awam dengan cekap pada hari ini.
Kekuatan mengurus wang awam akan menentukan keupayaan kerajaan menyampaikan perkhidmatan, melabur dalam infrastruktur, menangani ketidaksamaan dan menjamin kesaksamaan, tambah beliau.
Persidangan itu dianjurkan oleh Sarawak Centre of Performance Excellent Sdn Bhd (SCOPE), dengan kerjasama Jabatan Perbandaharaan Sarawak, Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) dan Akademi Salihin.
Hadir sama Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Ketua Audit Negara, Dato Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi.
