UNIMAS tubuh Kursi Endowment Penyelidikan

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan menubuhkan Kursi Endowmen Penyelidikan untuk memperkukuhkan ekosistem pendidikannya.

Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata, dengan sokongan penuh Kerajaan Sarawak, penubuhan kursi berkenaan diyakini mampu melonjakkan kedudukan UNIMAS ke persada antarabangsa.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menyatakan persetujuan untuk mewujudkan Kursi berkenaan yang fokus kepada bidang Biodiversity Nexus, Biomedical Engineering dan Bioinnovations serta Sejarah Sarawak, katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya akan berbincang dalam meningkatkan penyelidikan itu demi meningkatkan lagi kedudukan UNIMAS di peringkat antarabangsa.

“Ini sejajar dengan harapan beliau untuk UNIMAS menjadi universiti bertaraf global,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad berkata penubuhan Kursi Endowmen Penyelidikan ini turut merangkumi penubuhan sebuah institut baharu berkonsepkan global, futuristik dan transdisiplin.

Institut ini katanya akan memanfaatkan dana endowmen bagi memperkasa penyelidikan yang lebih berfokus.

Dalam pertemuan sama, beliau turut memaklumkan mengenai perkembangan penubuhan Fakulti Undang-Undang UNIMAS, yang kini telah sampai ke Kementerian Pendidikan Tinggi untuk pertimbangan di peringkat Persekutuan dan kini memerlukan surat sokongan dari kerajaan Sarawak untuk kelulusan jemaah menteri.

Beliau menambah, pihaknya turut berkongsi dengan Abang Johari mengenai peningkatan ketara dalam kedudukan universiti itu dalam penarafan Times Higher Education (THE) yang berjaya melonjak daripada kedudukan 401 pada tahun 2023 ke kelompok 101–200 pada tahun ini.

Katanya, rombongan itu turut memberitahu Konvokesyen UNIMAS yang akan berlangsung dari 3 hingga 6 November depan dan Premier Sarawak selaku Pro-Canselor UNIMAS dijadual hadir pada 4 November.