JULAU: Pembiayaan projek infrastruktur di Sarawak kini sepenuhnya menggunakan hasil negeri berjumlah RM6 bilion setahun, tanpa bergantung kepada dana Kerajaan Persekutuan.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Sarawak mempunyai strategi sendiri untuk membiayai pembangunan dilaksanakan, menerapkan penggunaan teknologi, sains, dan kaedah ‘financial re-engineering’ untuk menjana pendapatan negeri.
Beliau turut mengkritik tindakan Kerajaan Pusat sebelum ini yang membatalkan beberapa projek utama seperti Jambatan Batang Lupar, Batang Igan dan Rambungan hingga merencatkan perancangan pembangunan negeri ini.
“Kita tidak bergantung kepada Kuala Lumpur. Kita gunakan teknologi, sains, dan kaedah ‘financial re-engineering’ untuk menambah pendapatan negeri,” katanya semasa berucap merasmikan Jambatan Nanga Lasi Julau di sini hari ini.
Beliau turut berkongsi kejayaan kerajaan negeri meningkatkan pendapatanya dari RM6 bilion kepada RM14 bilion setahun hingga membolehkan pelbagai perancangan pembangunan dirancang dengan rancak.
Dalam ucapan sama, Premier turut mengumumkan pembangunan tiga projek infrastruktur utama bernilai keseluruhan RM322 juta di kawasan Julau dan Pakan, sebagai sebahagian usaha meningkatkan jaringan jalan raya serta memacu pembangunan ekonomi luar bandar.
Antara projek-projek yang diluluskan adalah Projek Naik Taraf Jalan Nanga Lasi, Balut dan Suchong, Julau yang berjumlah RM92 juta, Projek Jalan Lijan, Julau berjumlah RM80 juta dan Projek Jalan Nanga Entaih Rumah Sang Lasa, Kemalih serta 13 Jalan Cabang, Pakan berjumlah RM150 juta.
Jelas beliau, pelaksanaan projek-projek tersebut akan meningkatkan kelancaran pengangkutan, memendekkan masa perjalanan antara Julau, Betong, Sri Aman dan Kuching, serta membuka peluang pasaran lebih luas untuk produk tempatan.
“Apabila jalan ini siap, masa perjalanan dari Meluan ke Kuching hanya mengambil kira-kira dua jam setengah, membolehkan penduduk pergi dan balik pada hari yang sama,” katanya.
