SARIKEI: Jawatankuasa Induk penganjuran Pesta Nanas dan Buah-Buahan Sarikei menyasarkan jualan sebanyak RM3.5 juta pada tahun ini.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, pada tahun lalu pesta tersebut memperoleh jualan sebanyak RM3 juta.
“Objektif pesta ini untuk mempromosi bahagian ini sebagai destinasi Agro Pelancongan yang kaya dengan hasil pertanian, sinonim dengan gelaran Food Basket Of Sarawak,” katanya semasa merasmikan Pesta Nanas dan Buah-Buahan Sarikei 2023 di Pentas Utama, Dewan Suarah Sarikei Edisi Ke-18, malam tadi.
Yusuf berkata, kerajaan komited dalam mempergiatkan serta memajukan sektor pertanian dan pelancongan sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri Sarawak.
Kunjungan masyarakat luar amat penting terutamanya dalam menggerakkan industri berasaskan ekopelancongan, keusahawan, aktiviti perniagaan dan sebagainya.
Pesta Nanas dan Buah-Buahan Sarikei bermula 17 November hingga 3 Disember ini dengan pelbagai aktiviti acara dan jualan.
Hadir sama, Residen Sarikei Michael Ronnie Langgong, Timbalan Residen Sarikei Badjuri Bidin, Kaunselor Ling Chai Yun mewakili Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.