KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang menjalankan ujian penggunaan biojisim bagi mengurangkan pergantungan kepada arang batu di stesen janakuasa Sejingkat di sini.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata penggunaan arang batu telah dikurangkan kepada 50 peratus dengan selebihnya menggunakan wood pellet, bamboo pellet dan napier grass.
“Jika ujian ini berjaya, teknologi sama akan diperluas ke loji janakuasa lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan SAVE2025 di Hotel Imperial di sini, hari ini.
Dalam majlis sama, turut diadakan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara syarikat dan agensi terlibat bagi mengukuhkan kerjasama strategik dalam pembangunan tenaga bersih dan latihan tenaga mahir di Sarawak.
Di samping itu, Dr Hazland berkata Kerajaan Sarawak menetapkan sasaran melatih sekurang-kurangnya 80,000 tenaga mahir teknologi menjelang 2030 bagi menyokong pelaksanaan projek tenaga bersih termasuk hidrogen, solar dan biojisim di negeri ini.
“Mulai tahun depan, kita akan menyediakan kursus teknologi dan TVET secara percuma di lima universiti negeri untuk menarik lebih ramai anak muda menceburi bidang ini,” katanya.
Katanya, beberapa projek tenaga bersih utama kini sedang dilaksanakan, antaranya loji pengeluaran hidrogen di Bintulu (Hornbill dan Hibiscus), tenaga solar terapung di empangan Batang Ai, Murum, Bakun dan Baleh serta projek empangan melata di 12 sungai yang berpotensi.
Sarawak turut membangunkan projek Combined Gas Cycle di Bintulu dan Miri yang menggabungkan 70 peratus LNG dan 30 peratus hidrogen, dengan sasaran menambah sehingga 1.5 gigawatt kapasiti tenaga, katanya.
“Gabungan projek-projek ini dijangka meningkatkan kapasiti tenaga negeri daripada 5.7 gigawatt sekarang kepada 10 hingga 11 gigawatt menjelang 2030, dan seterusnya 15 gigawatt pada 2035,” tambahnya.
