BINTULU: Jalinan kerjasama strategik dengan pelbagai institusi dan pusat pengajian tinggi tempatan akan membolehkan Pusat Falak Bintulu muncul sebagai pusat pengajian lebih teratur.
Selain itu, boleh melahirkan modal insan berkemahiran dalam bidang falak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pusat pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, ICATS, CENTEXS serta institusi seperti Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) diyakini boleh membantu membangunkan pusat falak berkenaan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Pusat Falak Bintulu diharapkan akan menjadi pemangkin kepada penghasilan modal insan yang mampu menyumbang kepada kajian satelit, pemetaan ruang udara dan dalam aplikasi pertahanan dan keselamatan,”katanya pada majlis pembukaan Kompleks Pusat Falak Bintulu di sini, hari ini.
Teks ucapan Premier dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyempurnkan majlis pembukaan kompleks berkenaan.
Hadir sama isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin dan Imam Besar Sarawak Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Abang Johari menegaskan, pemilihan lokasi strategik Pusat Falak Bintulu yang jauh daripada gangguan pencahayaan bandar membolehkan aktiviti pencerapan dilakukan dengan lebih tepat dan berkesan.
“Astronomi tidak dapat dijalankan dengan berkesan tanpa alam sekitar yang bersih dan bebas pencemaran cahaya.
“Maka, ini menjadi pengukuh bahawa pembangunan sains falak selaras dengan matlamat SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim dan juga agenda teknologi hijau Sarawak menjelang 2050,” ujar beliau.
Pusat Falak Bintulu yang siap dibina pada 2022 dan diserahkan secara rasmi pada 22 Mac 2023, berperanan sebagai Pusat Cerapan dan Takwim, Pusat Pendidikan dan Perkembangan Ilmu Falak, Pusat Astro-Pelancongan serta bakal menjadi pusat penyelidikan utama dalam bidang astronomi di Sarawak.
