PUSA: Penduduk di kawasan Beting Maro bakal menikmati kemudahan sukan yang lengkap dan moden sebaik sahaja pembinaan beberapa prasarana sukan siap sepenuhnya nanti.
Bagi tujuan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berkata, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM33 juta.
Katanya, peruntukan itu merangkumi pembinaan kompleks sukan baharu di Pusa bernilai RM25 juta, menaik taraf stadium mini sedia ada (RM5 juta) serta pembinaan arena sukan di Beladin (RM3 juta).
“Dengan adanya kemudahan ini, hampir setiap kampung di kawasan Beting Maro akan mempunyai gelanggang berbumbung,” katanya pada Majlis Penangguhan Karnival Sukan Saberkas (KASUS) sempena Tandang Sari Fest Vol.1 di Dataran Tandang Sari, Pusa semalam.
Razaili turut menggesa Jawatankuasa Saberkas di kawasan tersebut untuk terus mengatur pelbagai aktiviti sukan melibatkan belia, termasuk penubuhan kelab sukan di bawah Saberkas bagi menyokong perancangan pembangunan komuniti.
Dalam masa sama, beliau menggalakkan golongan belia menceburi bidang keusahawanan pertanian moden dan teknologi, yang menurutnya berpotensi meningkatkan hasil dan pendapatan.
Antara empat tanaman yang akan diusahakan ialah padi, nanas, kelapa serta apong/nipah.
Karnival yang dianjurkan Saberkas Cawangan Beting Maro dengan kerjasama Pusat Khidmat Beting Maro dan Pusat Khidmat Batang Lupar itu menampilkan pertandingan dart. Ia disertai 32 kumpulan dari pelbagai daerah dan kampung di Bahagian Betong.
