KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang meneliti kemungkinan untuk menubuhkan Majlis Tenaga Sarawak dalam usaha menyelaras semua pihak berkepentingan dalam sektor tenaga.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu penting supaya dasar dan operasi perniagaan mereka selaras dengan dasar negeri.
“Kita sedang dalam proses berinteraksi dengan sektor swasta dan majlis pada hari ini adalah satu daripada proses tersebut.
“Ini supaya wujud kesepakatan antara sektor swasta dan sektor awam. Selepas itu, kita dapat memformulasikan polisi yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) dan Public Industry Engagement Day di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Menurut beliau, penubuhan majlis itu akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya.
Namun katanya, pelaksanaan akan dilihat pada tahun hadapan memandangkan penubuhan pada tahun ini tidak dapat dilaksanakan kerana hanya berbaki empat bulan lagi. – UKAS
