KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memacu industri tenaga boleh diperbaharui apabila melancarkan Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P), dasar transformasi yang akan memandu peralihan wilayah ini ke arah masa depan tenaga yang rendah karbon, selamat dan inklusif.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, SET-P merupakan dokumen dasar menyeluruh dan bersepadu untuk mentransformasikan sektor tenaga.
Tambahnya, ia menyatukan semua strategi sedia ada di bawah satu rangka kerja bersama serta menangani ‘energy trilemma’ iaitu memastikan keselamatan tenaga, mempromosikan kelestarian alam sekitar dan mengekalkan kemampuan ekonomi.
“Potensi SET-P adalah bersifat transformasi di mana menjelang tahun 2050, dasar ini dijangka menyumbang RM550 bilion kepada KDNK kumulatif, mewujudkan lebih 80,000 peluang pekerjaan baharu, serta menarik pelaburan bernilai antara RM580 bilion hingga RM700 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis ‘Public Industry Engagement Day and Launching Ceremony of the SET-P’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Jelasnya, SET-P ini akan menjadi salah satu pelengkap terhadap dasar yang telah dilancarkan sebelum ini iaitu Sarawak Sustainability Blueprint 2030 dan Sarawak Hydrogen Economy Roadmap dengan kedua-duanya memacu peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.
Sementara itu dalam sidang media, Abang Johari menjelaskan, Sarawak dijangka menerima pelaburan berjumlah sekitar RM700 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang memandangkan sektor ini memerlukan modal yang tinggi.
“Pelaburan ini akan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi, dan sebagai persediaan, kerajaan akan menyediakan program pendidikan khusus bagi melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran untuk mengisi keperluan ekonomi baharu yang sedang dilaksanakan di Sarawak,” jelasnya.
Justeru katanya, dasar tenaga Sarawak perlu jelas supaya semua pihak tahu hala tuju, dapat mengambil bahagian, serta merangka dasar masing-masing selaras dengan keperluan negeri terutamanya memastikan menjadi pemain penting di peringkat global dalam hala tuju polisi ini.
