Sarawak, Jepun bincang peluang pelaburan dan perdagangan

TOKYO: Sarawak yang diwakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengadakan pertemuan bersama Duta Besar Malaysia ke Jepun, Dato Shahril Effendi Abd Ghany, di sini hari ini.

Dalam kenyataan media Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) menjelaskan, pertemuan ini sebagai platform penting bagi kedua-dua pihak membincangkan pelbagai perkara berkepentingan bersama, khususnya memacu peluang pelaburan dan perdagangan antara Sarawak dan Jepun.

Perbincangan turut menyentuh penglibatan strategik agensi-agensi utama Malaysia seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam mempromosikan potensi Sarawak kepada pelabur Jepun.

Lawatan kerja Awang Tengah selaku Menteri MINTRED ke Jepun diteruskan ke Tokyo dengan beberapa pertemuan bersama syarikat-syarikat dalam sektor pembuatan, digital, tenaga boleh diperbaharui dan aeroangkasa.

Terdahulu, beliau mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Minggu Sarawak di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Dunia Osaka 2025.

Hadir sama dalam pertemuan berkenaan ialah Penasihat MINTRED Dato Sri Mohamad Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED Dzulkornain Masron, Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak Timothy Ong, Kaunselor/Ketua Cawangan Canselori Nora Azlinda Jaapar, Pengarah MIDA Tokyo Izran Abdullah dan Pengarah MATRADE Tokyo Zuaziezie Zulkefli.