Arkib Sarawak rancak dibina antara tercanggih, simpan dokumen penting MA63

KUCHING: Penggunaan teknologi digital kini memainkan peranan penting dalam memperkasa masyarakat luar bandar Sarawak agar tidak tercicir dalam arus kepesatan ilmu pengetahuan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan digital menjadikan pembelajaran lebih mudah diakses dan menarik kepada masyarakat, khususnya di pedalaman yang belum boleh membaca.

“Jika tiada buku, kita boleh guna teknologi di luar bandar. Hujung minggu ada pusat aktiviti seperti yang dilakukan menerusi program Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).

“Jika hanya membaca sahaja, ia akan membosankan maka perlu ada interaksi dalam cara kita berkomunikasi di daerah digital,” katanya berucap dalam Majlis Sambutan Jubli Perak 20 Tahun Pustaka Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam tadi.

Mengambil inspirasi kejayaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang menggunakan pembayaran menggunakan aplikasi e-dompet S Pay Global, Abang Johari percaya masyarakat kampung terutamanya warga emas di negeri ini mampu mengakses bahan bacaan dan karya sastera secara digital.

Mengulas mengenai bangunan arkib Sarawak yang giat dibina, katanya ini merupakan usaha kerajaan untuk memelihara sejarah dan warisan yang ada di negeri ini demi generasi akan datang.

Jelas beliau, arkib tersebut akan menjadi antara yang tercanggih di rantau ini, lengkap dengan kemudahan penyimpanan dokumen dalam bentuk fizikal dan digital, termasuk dokumen penting seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya telah membawa beberapa dokumen daripada Arkib Sejarah, Muzium Sejarah London dan telah meminta supaya dokumen tersebut disimpan di dalam arkib kita,” tambahnya.

Hadir sama, isteri kepada Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel.