KUCHING: Kerajaan Sarawak memperketatkan kawal selia industri gas dengan mengeluarkan 551 lesen sejak pindaan Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016 dikuatkuasakan 2023.
Timbalan Menteri Utiliti Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) Dato Ibrahim Baki berkata, sebanyak 14 lesen diberikan kepada sektor huluan manakala 537 (hiliran).
“Dalam tempoh sama, 10 notis ketidakpatuhan turut dikeluarkan terhadap pengendali tanpa lesen.
“Kesalahan pertama boleh didenda sehingga RM20 juta, manakala kesalahan seterusnya sehingga 10 kali ganda,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan ADUN GPS-Daro, Safiee Ahmad berhubung status perkembangan terkini aktiviti pengawal selia dalam mengembangkan dan memudahkan pengagihan gas di Sarawak sejak penguatkuasaan Rang Undang-Undang (RUU) Pengagihan Gas (Pindaan) 2023.
Pada masa sama, beliau mendedahkan sebanyak tujuh jenis lesen merangkumi aktiviti seperti regasifikasi, rawatan, pengangkutan, pengurusan saluran paip serta pembekalan dan penjualan gas.
