Tanah NCR di 26 kawasan DUN Opar selesai diukur

KUCHING: Sebanyak 30 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar diluluskan untuk pengukuran perimeter tanah Hak Adat Bumiputera ( NCR) setakat 30 April 2025.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sebanyak 26 kawasan terbabit selesai diukur dan 18 daripadanya telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian).

“Beberapa kawasan masih dalam proses pengukuran, termasuk satu kawasan yang terlibat dengan bantahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang pada sidang DUN Sarawak di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, di bawah peringkat kedua pula, sembilan kawasan telah diluluskan untuk pengukuran lot individu dengan tiga kawasan siap diukur dan lima kawasan masih dalam proses pengukuran.

“Sebanyak 1,411 surat hakmilik tanah telah dikeluarkan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak,” katanya.

Menurutnya, bagi pengukuran kampung tradisional, sebanyak 10 kampung telah diluluskan dengan dua kampung sudah siap diukur. Salah satu kampung telah dikeluarkan dengan 415 surat hakmilik tanah.

“Manakala, pengukuran bagi lapan kampung lagi akan dimulakan tidak lama lagi tertakluk kepada kesediaan penuntut tanah di lapangan,” tambahnya.

Sementara itu, bagi permohonan pengukuran lot individu, beliau berkata penuntut tanah mestilah bersedia dengan mengenalpasti dan merintis sempadan tanah masing-masing dan mengemukakan pelan lakaran kasar berserta senarai nama penuntut tanah bersama-sama dengan permohonan mereka.

“Penubuhan jawatankuasa tanah dalam kalangan penuntut tanah adalah amat digalakkan dalam membantu kerja-kerja persediaan sebelum, semasa dan selepas pengukuran dilaksanakan,” tambahnya.

Selain itu, Awang Tengah berkata Borang NTD A boleh diperoleh dari kaunter Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian atau dimuat turun melalui laman sesawang Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bagi tuntutan ke atas tanah pemakai menoa dan pulau galau oleh komuniti Bumiputera Sarawak.