Deklarasi bersama: Petronas dikecuali lesen pengoperasian di Sarawak, perlu mohon pada MUT

KUCHING: Komitmen perundangan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak kini dimeterai secara rasmi melalui satu deklarasi yang dijangka kekal sah tanpa mengira perubahan tampuk kepimpinan negara pada masa depan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa Deklarasi Bersama yang ditandatangani bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu perjanjian muktamad yang tidak akan diulang atau dirunding semula.

“Dokumen ini adalah titik penyatuan pemahaman antara Kerajaan Persekutuan dan kita (Sarawak). Ia telah dirakam secara rasmi, dan tidak perlu ditandatangani lagi – ini adalah penamatnya,” katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Deklarasi tersebut, ujar beliau, meletakkan asas kukuh bagi Sarawak memacu sektor minyak dan gas secara lebih berdaulat melalui kerangka kawal selia sendiri yang diiktiraf secara rasmi.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan-Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Sri Julaihi Narawi serta beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Abang Johari turut menjelaskan bahawa menerusi deklarasi ini, syarikat minyak nasional Petronas diberikan pengecualian khas untuk beroperasi di Sarawak, namun tertakluk kepada permohonan rasmi dan kelulusan daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi negeri.

“Kuasa lesen sepenuhnya berada di bawah kementerian. Mereka boleh memberi pengecualian kepada Petronas sebagai syarikat nasional, tetapi perlu melalui prosedur yang ditetapkan,” jelasnya.

Ketika ditanya sama ada perjanjian itu akan menjejaskan kes-kes mahkamah antara Petronas dan syarikat negeri, Petros, beliau menyerahkan perkara itu untuk diteliti oleh peguam.

Dalam kenyataannya, Premier turut menyifatkan deklarasi ini sebagai bukti komitmen Perdana Menteri untuk menghormati hak dan kepentingan Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Deklarasi Bersama mengukuhkan lagi kedudukan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016) sebagai undang-undang utama yang mengawal industri ini di Sarawak, dan semua pemain industri wajib mematuhinya,” katanya.

Menurut beliau lagi, inisiatif ini merupakan langkah strategik untuk menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga utama di rantau ASEAN, dengan kerjasama erat antara Petronas, Petros dan Kerajaan Persekutuan akan menjadi kunci utama dalam mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih dan mampan.

“Setiap pelaburan atau projek berkaitan tenaga di Sarawak selepas ini mesti melibatkan Petros sebagai rakan strategik Petronas. Ini bukan sahaja soal kuasa, tetapi juga soal kepercayaan dan kerjasama sejati,” tegas Abang Johari.