MIRI: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turun padang meninjau keadaan terkini tanah runtuh Miri di sini, hari ini.
Beliau melawat ke lokasi kejadian tanah runtuh Kampung Lereng Bukit bagi mendengar taklimat daripada Komander Operasi Bencana, ACP Alexson Naga Anak Chabu berhubung kronologi insiden tanah runtuh.
Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi Dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Residen Bahagian Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Galong Luang, Ketua Bomba Zon 6 Miri PgKB I Ismaidi Ismail serta wakil-wakil daripada jabatan dan agensi yang terlibat dalam operasi insiden ini.
Tragedi yang berlaku pada awal pagi Rabu lalu, melibatkan seramai 12 mangsa di dua unit rumah meragut lima nyawa, dua cedera dan bakinya selamat, yang mana seorang ditemui di lokasi kejadian dan empat orang sempat keluar menyelamatkan diri.
