Awang Tengah santuni mangsa banjir

LAWAS: Seramai 169 mangsa banjir di kawasan Trusan ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara(PPS) di sini.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong turun padang menyantuni mangsa banjir di tiga PPS di Trusan.

Beliau tiba di PPS Dewan Masyarakat Trusan bagi meninjau keadaan mereka.

Beliau kemudian menghulurkan sumbangan daripada Pusat Khidmat PBB Bukit Sari, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Baitulmal dan lain-lain sumbangan daripada badan kebajikan di Lawas.

Ini diikuti kunjungan ke PPS di SJK Chung Hua Trusan yang menempatkan 36 mangsa dan PPS SK Lintang yang dihuni oleh 33 mangsa banjir.

Sehubungan itu, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar(JBALB) diarah agar memastikan bekalan air mencukupi.

Majlis Daerah Lawas turut diarahkan l menyediakan tandas bergerak dan ruang untuk mangsa banjir di semua PPS itu.

Turut sama ialah Pengerusi Perkim Lawas Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Sri Naroden Majais, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Dzulkornain Masron, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Setiausaha Eksekutif Parti PBB, Datuk Awang Bujang Awang Antek dan Pengarah NRDA Datu Ubaidillah Latip.