KUCHING: Bahagian Pembangunan Awal Kanak-kanak di setiap negeri termasuk Sarawak dinaikkan status sebagai sebuah jabatan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, usul menukar status tersebut telah dicadangkan dan masih dalam perancangan.
“Bagaimanapun, Bahagian Kanak-Kanak bakal menjadi Jabatan Kanak-Kanak namun masih di bawah naungan kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Pandu Puteri dan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-59 Tahun 2024 di sini, hari ini.
Sementara itu kata Fatimah, Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak telah ditubuhkan di peringkat pusat untuk menangani isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak.
Ia katanya, berlandaskan kepada lima teras utama iaitu pencegahan, pembangunan, perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian ke dalam masyarakat.
Dalam pada itu, majlis perasmian Persidangan Pandu Puteri Ke-59 akan berlangsung esok dan akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda pada jam 11.20 pagi di Terminal Orang Kenamaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) disambut oleh isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir menyambut keberangkatan tiba Baginda ialah isteri kepada Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, isteri kepada Timbalan Premier Sarawak Datin Amar Enn Ong Siok Ean, Fatimah serta kenamaan yang lain.
