BIHAS 2026 pentas pelancaran Pelan Pembangunan Industri Halal Sarawak 2026-2030

KUCHING: Borneo International Halal Showcase (BIHAS) 2026 bakal menjadi platform penting dalam memperkukuhkan pembangunan industri halal Sarawak.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, Pelan Pembangunan Industri Halal Sarawak 2026–2030 akan dilancarkan Premier Sarawak pada 21 Julai ini di Hotel Waterfront, di sini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu BIHAS 2026 berkata, Premier Sarawak turut dijadual menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan kerjasama strategik bagi memperkukuhkan pembangunan industri halal negeri.

“Sebanyak enam dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) telah dikenal pasti untuk ditandatangani semasa perasmian BIHAS 2026,” katanya pada sidang media program tersebut di sini, hari ini.

Sementara itu, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Dato Sri Mohd Naroden Majais berkata, jenama syarikat penerbangan Sarawak, AirBorneo berpotensi menjadi rakan strategik utama bagi penganjuran BIHAS pada masa akan datang.

BIHAS 2026 yang berlangsung dari 21 hingga 23 Julai ini di Waterfront Square Kuching dan Hotel Waterfront akan menampilkan pelbagai pengisian termasuk Persidangan Halal Antarabangsa serta Expo Halal Antarabangsa.

Persidangan Halal Antarabangsa yang julung kali diadakan di Kuching bakal menghimpunkan lebih 30 penceramah dari Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia, Türkiye, Arab Saudi, Brazil dan Jepun.

“Persidangan tersebut akan membincangkan perkembangan industri halal global meliputi aspek inovasi, pensijilan, perdagangan, pelaburan serta pembangunan industri,” ulasnya.

Sementara itu, Expo Halal Antarabangsa akan menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan halal daripada syarikat dari Sarawak, Semenanjung Malaysia, Sabah, Indonesia serta Brunei Darussalam, sekali gus membuka peluang kepada usahawan memperluas jaringan perniagaan.

Antara tarikan utama BIHAS 2026 ialah Borneo Halal Kitchen yang mengetengahkan kepelbagaian makanan halal dari seluruh Borneo termasuk Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan, selain demonstrasi masakan secara langsung oleh chef serta pakar kulinari antarabangsa.