KUCHING: Anak Sarawak harus mencontohi ketabahan dan kecekalan ditunjukkan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam mencurahkan bakti kepada masyarakat, negeri serta negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Dr. Wan Junaidi adalah tokoh yang telah banyak berjasa dengan penuh dedikasi di sepanjang tempoh beliau berkhidmat dalam pelbagai kapasiti walaupun terpaksa berhadapan dengan cabaran dan kekangan.
Katanya, sifat yang ditonjolkan oleh beliau mencerminkan semangat juang anak jati Bumi Kenyalang yang tetap akan maju ke hadapan dengan semangat ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ walaupun terpaksa berdepan pelbagai rintangan.
“Justeru, saya menyaran agar anak Sarawak mencontohi ketabahan dan kecekalan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dalam mencurahkan jasa dan bakti kepada masyarakat, negeri dan negara di mana sahaja saudara dan saudari berada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena sambutan Hari Lahir Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Ke-78 di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Abang Johari turut yakin kebijaksanaan Dr. Wan Junaidi sebagai ketua negeri akan terus memperkukuh Sarawak sebagai lambang perpaduan dan kestabilan di negara ini.
Ujarnya, sejak memegang jawatan sebagai TYT mulai Januari lalu, Dr. Wan Junaidi semakin menyerlahkan ketokohannya sebagai pemimpin yang berpengalaman luas, senang dan mesra mendekati rakyat pelbagai latar belakang dan kedudukan.
“Perpaduan yang kita telah bina bersama tidak harus dipandang ringan tetapi hendaklah diperkukuh berpaksikan institusi Yang di-Pertua Negeri kita sebagai titik persefahaman antara kaum dan agama,” jelasnya lanjut.
Katanya, impian Sarawak untuk menjadi kuasa ekonomi hijau di rantau Asia juga dapat direalisasikan di bawah naungan Dr. Wan Junaidi.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif sedang dilaksana ke arah mentransformasikan ekonomi wilayah ini kepada ekonomi yang berasaskan inisiatif-inisiatif sifar karbon dan tenaga hijau sejajar dengan usaha sejagat untuk menangani perubahan iklim dunia.
Sementara itu, Abang Johari bersama-sama dif-dif kehormat lain menemani Dr. Wan Junaidi serta isteri menyempurnakan upacara memotong kek hari lahir sebagai simbolik di hadapan 78 kontinjen yang menghiasi padang tersebut dengan laungan ‘Dirgahayu’.
Terdahulu, Abang Johari mengiringi Dr. Wan Junaidi memeriksa Pasukan Kawalan Kehormatan Utama termasuk para kontinjen bagi melengkapkan istiadat penuh tradisi dan adat itu.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak selaku Menteri Bertanggungjawab Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, barisan Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri-Menteri Kabinet Sarawak serta dif-dif kenamaan yang lain.
