Pengambilan syarikat MASWING dalam peringkat rundingan lanjutan

KUCHING: Sarawak yakin akan dapat menamatkan rundingan bagi pengambilan syarikat penerbangan MASWING tidak lama lagi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, proses pengambilan syarikat itu kini dalam peringkat rundingan lanjutan.

“Saya yakin proses pengambilan Syarikat MASWING yang kini dalam peringkat rundingan lanjutan akan ditamatkan tidak berapa lama lagi,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-78 Yang di- Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Padang Merdeka di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, Sarawak memerlukan khidmat penerbangan di kawalannya sendiri bukan sekadar untuk membawa penumpang tetapi yang lebih penting untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dan rantaian khidmat sokongan.

Selain itu, beliau juga mendedahkan kajian pembangunan lapangan terbang antarabangsa Kuching yang baharu sedang dijalankan yang bermodelkan Lapangan Terbang Antarabangsa Doha di Qatar.

“Lapangan terbang ini nanti akan dilengkapkan dengan kemudahan-kemudahan tercanggih,” tambahnya.

Menurutnya, ini sejajar dengan sasaran untuk membangunkan lapangan terbang tersebut sebagai hab penerbangan serantau.