Dasar pendidikan tinggi percuma utamakan kebolehpasaran graduan

KUCHING: Kerajaan Sarawak masih mengkaji kursus yang akan ditawarkan melalui dasar pendidikan tinggi secara percuma yang akan dilaksanakan pada 2026.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, ini bagi memastikan graduan anak Sarawak mempunyai kadar kebolehpasaran yang tinggi.

”Apa yang pasti ialah penentuan kursus-kursus ini berdasarkan kepada keperluan tenaga kerja Sarawak bagi melihat mana kursus yang amat diperlukan dan akan diberi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jom Masuk U Zon Sarawak di sini, hari ini.

Dr Annuar berkata, kajian berhubung kursus itu penting memandangkan tidak semua bidang ijazah sarjana muda akan menjamin pekerjaan kepada graduan.

”Ia kemudian akan menambah lagi beban di kemudian hari. Justeru, kita akan melaksanakan kajian itu secepat mungkin,” tambahnya.

Inisiatif pendidikan tinggi percuma untuk anak Sarawak melibatkan beberapa universiti milik Kerajaan Sarawak seperti Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Curtin, Universiti Swinburne, Kolej Universiti i-CATS, dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).