KUCHING: Kira-kira 5,000 orang dijangka menghadiri Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 16 September ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pada tahun ini, Sarawak sekali lagi diberi kepercayaan menjadi tuan rumah selepas kali terakhir menganjurkan sambutan itu pada 2023.
“Sambutan kali ini akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor turut hadir,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk bersempena Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Hotel Waterfront, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol dan Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki.
Antara pengisian utama ialah ucapan pemimpin, simbolik perasmian, penyerahan Jalur Gemilang oleh Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, upacara menaikkan Jalur Gemilang dan bacaan Ikrar Rukun Negara.
“Majlis akan dimulai dengan prapersembahan pada jam 7 malam, manakala acara rasmi dijadual bermula jam 8.15 malam dan berakhir sekitar jam 10.30 malam.
“Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir serta artis tempatan pelbagai etnik termasuk Ramles Walter dan Firdaus Materang,”ujarnya.
Jelas beliau lagi, pameran sempena Hari Malaysia juga turut berlangsung di Plaza Merdeka, Kuching dari 10 hingga 16 September ini.
Selain itu, jelasnya, pameran mini turut diadakan di 10 bahagian di Sarawak iaitu Sri Aman, Sibu, Miri, Limbang, Sarikei, Kapit, Bintulu, Mukah, Betong dan Serian, selain cadangan penganjuran pameran di Sabah dan Putrajaya.
Justeru, beliau berharap, sambutan berkenaan dapat menjadi platform memperkukuhkan semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
