KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sudah dimaklumkan berhubung tiga wakil rakyat bekas ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP).
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing telah mengemukakan surat rasmi kepada beliau memaklumkan perkara itu 12 April lalu.
“Presiden PDP memaklumkan kepada saya telah menerima penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh, ADUN Engkelili, Johnical Rayong Ngipa dan ADUN Ba’Kelalan Baru Bian ke dalam PDP,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di bangunan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Majlis itu dihadiri Yang di- Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Asfia berkata, Tiong dalam surat tersebut turut memohon pertimbangan untuk mengatur semula tempat duduk tiga bekas ahli PSB itu di blok kerajaan.
Namun, katanya beliau masih belum berkesempatan membalas surat tersebut kerana baharu sahaja menerimanya dan surat juga telah disalin kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, kedudukan kerusi tiga wakil berkenaan akan diumum sebelum persidangan DUN Mei ini.
