BINTULU: Sebanyak 10 ekor lembu ditumbangkan dalam Program Qurban Perdana Aidiladha N.67 Jepak di Arena Petanque Jepak, di sini, semalam.
Program bertemakan “Bah Berambeh Telow – Melapah Lembu” tersebut untuk diagihkan kepada 26 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Seramai 390 asnaf dan golongan B40 di Dewan Undangan Negeri ( (DUN) Jepak menerima agihan.
Program ibadah korban terbabit anjuran bersama Pusat Khidmat DUN Jepak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N67 Jepak serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum DUN Jepak.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata program terbabit juga menerima kehadiran rakan-rakan bukan Islam.
“Ini termasuk pemimpin masyarakat seperti Pemanca Gerunsin Jubin dan Penghulu Chabi Mangup, menyerlahkan semangat saling hormat-menghormati yang menjadi kekuatan kita,” katanya ketika ditemui di lokasi program itu.
