GPS rakamkan takziah kepada keluarga mangsa tanah runtuh

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mungkin memangil pakar dari Kuala Lumpur bagi membantu insiden tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit di Miri pagi tadi.

Pengerusi JPBNS merangkap Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, gerakan mencari mangsa masih diteruskan dan sedang menilai situasi ini.

“Jika diperlukan, kita akan panggil pakar dari Kuala Lumpur untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Pusat Persidangan Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Uggah berkata, sehubungan itu Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), merakamkan takziah kepada keluarga mangsa.

Sementara itu, usaha mengeluarkan mangsa terakhir tertimbus dalam insiden tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit masih giat dijalankan setakat jam 1.45 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral dan bantuan BBP Lopeng diaturgerak ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 2.58 pagi.

Katanya, komander operasi melaporkan setiba di lokasi, dilaporkan oleh pihak polis kemungkinan terdapat tujuh mangsa yang tertimbus.