Malaysia, Qatar perkukuh kerjasama

QATAR: Yang di-Pertua Dewan Negara, Dato Awang Bemee Awang Ali Basah mengetuai delegasi rasmi dalam kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Qatar, Syeikh Mohammed Abdul Rahman Jassim Al Thani.

Lawatan empat hari yang bermula 26 Januari lalu itu bertujuan mengukuhkan hubungan diplomatik serta memperkukuhkan kerjasama antara Malaysia dan Qatar, khususnya antara Dewan Negara Malaysia dan Majlis Shura Qatar.

Ia turut mengukuhkan lagi peranan diplomasi Parlimen dalam merintis hubungan antarabangsa yang lebih erat, sejajar dengan aspirasi Malaysia dalam memperluaskan kerjasama di peringkat global.

Kunjungan atas jemputan rasmi Kerajaan Qatar, mencerminkan hubungan erat dan komitmen kedua-dua negara dalam memperkasakan kerjasama pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan serta pembangunan strategik.

Delegasi Malaysia turut disertai Ahli Dewan Negara, Tan Sri Datuk Seri Panglima Anifah Aman dan Pele Peter Tinggom, bersama pegawai-pegawai Dewan Negara Parlimen Malaysia.

Selain pertemuan dengan Perdana Menteri Qatar, delegasi Malaysia juga dijangka mengadakan sesi perbincangan bersama pemimpin Majlis Shura Qatar untuk meneroka peluang baharu dalam hubungan dua hala. -UKAS