Yayasan Wakaf Sarawak bangun masyarakat Islam, ekonomi

KUCHING: Penubuhan Yayasan Wakaf Sarawak merupakan salah satu inisiatif memanfaatkan konsep wakaf untuk pembangunan masyarakat Islam dan ekonomi negeri ini.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, wakaf bukan sahaja sebahagian daripada syariah Islam, tetapi mekanisme penting dalam pembangunan umat Islam dan penyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

“Yayasan Wakaf harus dipersetujui kabinet. Apabila dibentangkan masalah penubuhan wakaf, saya memberikan bayangan bahawa ia merupakan salah satu syariah Islam di mana kita boleh mewakafkan harta kepada badan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Wacana Perdana pada Majlis Kesyukuran Agensi-Agensi Islam Sarawak di sini malam tadi.

Tegasnya, adalah penting memastikan aset wakaf didaftarkan dan diuruskan secara profesional oleh institusi yang diamanahkan bagi mengelakkan sebarang isu pewarisan yang boleh menjejaskan niat asal pewakaf.

Yayasan Wakaf Sarawak katanya akan berperanan sebagai entiti yang bertanggungjawab dalam menguruskan harta wakaf, digunakan untuk keperluan seperti pembinaan sekolah, masjid, hospital dan pelbagai projek pembangunan lain.

Konsep wakaf bukan hanya memberi manfaat kepada umat Islam, tetapi masyarakat umum, selaras dengan prinsip Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam, katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin serta kenamaan lain. – UKAS