KUCHING: Sarawak serius dalam usahanya untuk membanteras gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa melalui penganjuran program anti-rasuah peringkat antarabangsa yang akan diadakan di negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya menegaskan program tersebut akan menjadi platform untuk mempamerkan komitmen Sarawak terhadap integriti, antirasuah dan pentadbiran yang cekap.
“Program ini berhasrat untuk melibatkan ahli parlimen antarabangsa, pejuang anti-rasuah, serta organisasi yang memperjuangkan integriti tadbir urus.
“Ia bertujuan menegakkan kedaulatan undang-undang dan pematuhan terhadap peraturan di semua peringkat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Perdana International Anti-Corruption Champion Fund (PIACCF) yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed di Astana Negeri Sarawak hari ini.
Dr. Juanda menambah bahawa perbincangan mengenai program itu masih berjalan dan mereka sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan daripada Dr. Wan Junaidi dan kerajaan Sarawak sebelum acara antarabangsa ini dapat dilaksanakan.
“Ini adalah langkah besar oleh Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh usaha anti-rasuah, meningkatkan integriti, memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan di setiap peringkat, serta mengadaptasi amalan terbaik antarabangsa di peringkat tempatan, sambil mempamerkan pendekatan Sarawak di persada global,” tambahnya.
Turut serta dalam kunjungan itu ialah Ketua Ombudsman Sarawak, Dato Sri Abdul Ghafur Shariff dan Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Wan Mohamad Wan Drahman. – UKAS
