KUCHING: Hubungan dua hala Sarawak–China terus diperkukuhkan melalui kerjasama dalam bidang pendidikan, pelaburan dan kebajikan yang semakin meluas.
Duta Besar Istimewa dan Mutlak China ke Malaysia, Ouyang Yujing berkata, hubungan erat ini menyokong aspirasi pembangunan negeri ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.
Katanya, hubungan erat itu dapat dilihat menerusi peningkatan jumlah pelajar China di Sarawak serta penglibatan syarikat-syarikat China dalam pelbagai projek strategik negeri.
Jelas Ouyang, banyak syarikat dari China kini bekerjasama rapat dengan rakan kongsi Malaysia termasuk di Sarawak bagi melaksanakan projek pembangunan, selain komitmen berterusan dalam mengukuhkan hubungan dua hala.
“Kami mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Sarawak. Ramai pelajar China belajar di sini dan banyak syarikat China bekerjasama dengan rakan Malaysia untuk melaksanakan projek di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Petra Jaya hari ini.
Lawatan tersebut turut melibatkan sesi pertukaran pandangan mengenai peluang kerjasama baharu antara Sarawak dan China.
Dalam pada itu, Ouyang memberitahu bahawa beliau telah menyerahkan Biasiswa Duta China bernilai RM40,000 kepada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi menyokong pelajar melanjutkan pengajian dan mengikuti program pertukaran akademik di China.
Delegasi itu juga menyumbang 300 cermin mata kepada pelajar kurang berkemampuan sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan pendidikan.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian.
