LAWAS: Pergerakan Wanita dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari mengadakan program penyerahan Bakul Kasih bagi Zon Punang dan Zon Bandar Lawas, di sini, baru-baru ini.
Menurut Ketua Wanita Bukit Sari, Auji Najian Garip, program berterusan ini merupakan sumbangan ikhlas Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan untuk membantu keluarga yang memerlukan.
Program kali ini melibatkan tiga kampung iaitu Kampung Punang, Kampung Melusuk dan Kampung Banting membabitkan 16 penerima di Zon Punang dan dua penerima (Zon Bandar).
Auji menjelaskan, inisiatif kebajikan tersebut bukan sahaja bertujuan meringankan beban penerima, tetapi juga mengukuhkan hubungan komuniti di DUN Bukit Sari serta memberi sokongan moral kepada mereka.
Beliau menegaskan bahawa Wanita dan Pemuda cawangan ini sentiasa diarahkan untuk peka terhadap masalah rakyat dan menyalurkan maklumat kepada pimpinan parti bagi memastikan kebajikan penduduk terus diberi perhatian.
