KUCHING: Penduduk di sekitar Samarahan dan Jalan Lapangan Terbang Kuching bakal menikmati perjalanan lebih lancar apabila jalan penghubung baharu yang sedang dibina hampir siap.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jalan tersebut dijangka mula digunakan selewat-lewatnya September ini.
Katanya, projek jalan sepanjang 7.9 kilometer (km) kini mencapai 96 peratus kemajuan fizikal dan hanya menunggu kerja-kerja akhir termasuk pemasangan lampu jalan sebelum boleh dibuka sepenuhnya kepada pengguna.
“Projek ini bertujuan mewujudkan laluan alternatif yang lebih efisien, menghubungkan Jalan Samarahan terus ke kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Ia sangat penting untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, terutama pada waktu puncak,” katanya ketika membuat lawatan ke tapak projek, hari ini.
Projek berimpak tinggi yang bernilai sebanyak RM112.9 juta itu merupakan sebahagian daripada program naik taraf Jalan Persekutuan dan melibatkan pembinaan empat jalan utama; tiga jambatan satu laluan bawah tanah serta beberapa persimpangan strategik.
Antara yang terlibat ialah Jalan A yang merangkumi pembinaan jalan empat lorong dua hala sepanjang satu kilometer dari Persimpangan T Stutong ke Stampin dan sambungan dua lorong sepanjang 5.2 kilometer hingga ke Bukit Berangan.
Selain itu, Jalan B sepanjang 1.7 kilometer menghubungkan Stampin ke Sungai Tapang, manakala sambungan Jalan C dan D serta kerja menaik taraf di Persimpangan Stutong turut dilaksanakan.
Tiga jambatan baharu merentasi Sungai Kuap, Sungai Stampin dan Sungai Sangko telah siap sepenuhnya, manakala pembinaan underpass sedang giat dijalankan di kawasan berdekatan lapangan terbang bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik.
Menurut Nanta, apabila siap sepenuhnya, projek ini bakal memberi manfaat langsung kepada pengguna jalan raya, mempercepat urusan harian serta menyokong pertumbuhan ekonomi sekitar kawasan bandar dan pinggir bandar.
“Pembinaan berjalan mengikut jadual dan menepati spesifikasi serta kualiti yang ditetapkan. Kita harap ia dapat memberi impak positif kepada sistem pengangkutan di kawasan ini,” jelasnya lagi.
Hadir sama ADUN Stakan, Dato Hamzah Ibrahim.
