SARIKEI: Ibu bapa dinasihati supaya memantau kegiatan anak-anak yang menggunakan teknologi maklumat untuk kebaikan masa depan mereka.
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, teknologi maklumat sekiranya digunakan secara beretika dan berhemah boleh mengembangkan daya fikiran dan kreativiti anak-anak.
“Kehidupan hari ini amat bergantung kepada kemahiran digital (teknologi) sama ada dalam pembelajaran ataupun pekerjaan,”katanya melancarkan Program Jom Klik: Pendigitalan Sekolah di SK Sungai Selidap di sini, semalam
Beliau berkata, program itu boleh menjadi platform untuk memperkukuh kemahiran digital dalam kalangan murid, selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21 yang menuntut penguasaan teknologi maklumat.
Menurutnya, inisiatif itu amat relevan dengan cabaran pendidikan semasa yang menuntut murid menguasai kemahiran pemikiran kritis, komunikasi, kolaborasi dan kreativiti.
Beliau turut mengingatkan tentang risiko penyalahgunaan teknologi termasuk penyebaran berita palsu, judi dalam talian serta aktiviti menyalahi undang-undang.
Majlis itu turut dihadiri Guru Besar SK Sungai Selidap Semanto Ahi.
