JPBN siap siaga hadapi musim tengkujuh, 7,507 anggota dikerah

KUCHING: Seramai 7,507 anggota dan pasukan keselamatan digerakkan untuk bersiap siaga menghadapi bencana Monsun Timur Laut (MTL).

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengerusuan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM)
dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah bersiap sedia dan beliau berpuas hati.

Katanya, dari segi aset JPBN menyediakan 214 bot, tiga jet ski, kenderaan pacuan empat roda, 260 lori, 78 ambulans, 32 motosikal, 152 bas, dua helikopter dan 15 dron.

“JPBN turut menyediakan 31 pangkalan hadapan bencana, sebuah depo simpanan bencana di Kota Samarahan dan dua mini depo simpanan bencana,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JPBN di sini,
hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik.

Beliau berkata, JPBN menyediakan 661 pusat pemindahan dan 31 pangkalan hadapan bencana itu penting sebagai pusat menyimpan makanan untuk diagihkan ke pusat pemindahan di seluruh negeri.

Uggah menzahirkan rasa puas hati dengan persiapan yang digerakkan termasuk kebersihan, membaik pulih tandas, penyedianaan makanan dan tempat penginapan di pusat-pusat pemindahan.

Residen di setiap bahagian, katanya, turut dimaklumkan mengenai kawasan mudah dilandar banjir supaya bantuan segera dapat dihulurkan.

Mengenai kempen menangani Rabies, beliau berkata, tahun lalu, JPBN sudah mengadakan satu operasi rintis bagi penguatkuasaan bersepadu Rabies di Sarawak dan menunjukkan kejayaan.

“Kita akan teruskan operasi ini dengan menambahkan kawasan. Projek perintis itu diadakan di Kuching dan untuk kawasan seterusnya nanti kita akan tentukan jika Rabies masih menjadi isu,” tambahnya.