SUZHOU: Rombongan dari Sarawak yang diketuai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semalam melawat Taman Perindustrian Suzhou (SIP), projek yang dibangunkan bersama oleh Kerajaan China dan Singapura.
Meliputi kawasan seluas 278 kilometer (km) persegi, taman itu dihuni oleh 1.19 juta penduduk termasuk 807,800 penduduk tetap.
SIP dibangunkan dengan bangunan industri yang tersusun dan fokus kepada dua industri utama iaitu industri teknologi maklumat generasi baharu dan industri mengilang peralatan moden bersama dengan industri bioperubatan, aplikasi nanoteknologi dan kecerdasan buatan.
Selain itu, taman tersebut turut membangunkan sektor perkhidmatan moden bagi menyokong industri berkenaan.
Sarawak baru-baru ini, menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Taman Perindustrian (IPMC) bagi mengurus dan menambahbaik keadaan taman perindustrian untuk kelestarian jangka panjang.
Untuk permulaan, IPMC Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya dan Taman Perindustrian Demak Laut di Kuching telah ditubuhkan.
Bersama rombongan dari Sarawak itu ialah Penasihat MINTRED, Dato Sri Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron, CEO INVEST Sarawak Timothy Ong, Ketua Pegawai Eksekutif Recoda, Datuk Ismawi Ismuni.
