KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi akan memperluaskan projek hidrogen dan hidrogen hijau untuk membekal elektrik di pedalaman susulan kejayaan projek perintisnya di Rumah Bangau daerah Song di sini.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, projek perintis yang dibangun di rumah panjang terbabit dengan kerjasama Sarawak Energy berjaya membekalkan elektrik 24 jam.
“Kementerian akan mengenal pasti tempat atau lokasi kampung dan rumah panjang yang mempunyai Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (SARES) untuk ditambah baik dengan bekalan hidrogen ini,” katanya selepas melancarkan Pameran Hidrogen Hijau 2024 di Menara Sarawak Energy di sini.
Beliau berkata, projek perintis pertama itu adalah lanjutan daripada SARES dengan pembekalan elektrik melalui tenaga hijau yang dibangunkan oleh Sarawak Energy.
Rumah Bangau adalah rumah panjang pertama yang mempunyai projek sebegini.
Justeru katanya, kementerian berkenaan akan melaksanakan projek tersebut di beberapa rumah panjang atau kampung lain pada masa depan.
“Kita mendapati penggunaan hidrogen ini walaupun pada hari ini kosnya sedikit tinggi daripada SARES, namun pada masa akan datang, kosnya dapat diturunkan dengan pengeluaran peralatan lebih canggih,” tegas beliau.
Menurut Dr Abdul Rahman, pendekatan digunakan oleh Sarawak Energy dan kementerian itu sejajar dengan tiga teras utama PCDS 2030 iaitu untuk kelestarian alam sekitar.
Penggunaan tenaga hidrogen hijau itu mungkin boleh diguna pakai dalam penjanaan bekalan elektrik di seluruh Sarawak pada masa akan datang, tambahnya.
Beliau berkata, penghuni Rumah Bangau memaklumkan selepas Sarawak Energy menyiapkan projek itu, mereka mendapati amat baik dan setakat ini tidak ada masalah dan sangat gembira kerana mendapat bekalan elektrik 24 jam.
“Matlamat kementerian untuk menyasarkan liputan 100% bekalan elektrik untuk seluruh Sarawak pada tahun 2025,” tegas beliau.
