RM110 juta diperuntuk kepada UNIFOR tahun depan

KUCHING: Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) akan terus komited membantu rumah ibadat agam lain di negeri ini selepas menerima suntikan dana sebanyak RM110 juta pada 2025.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dana tersebut diluluskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai sebahagian daripada komitmen beliau terhadap pembangunan inklusif untuk masyarakat.

“Ini adalah satu lagi manifestasi berterusan dasar keterangkuman sosial oleh Datuk Patinggi Abang Johari,” katanya pada Majlis Penyerahan Geran UNIFOR di Wisma Bapa Malaysia (WBM) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Uggah, yang juga Menteri Bertanggungjawab terhadap UNIFOR telah menyerahkan 41 cek bernilai RM8.776 juta kepada 20 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) serta wakil.

Ini merupakan penyerahan akhir geran di bawah peruntukan UNIFOR untuk tahun ini sebanyak RM110 juta.

Esok, beliau akan menyerahkan baki empat cek berjumlah RM800,000 kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk projek gereja di Lundu.

“Ini akan menjadikan jumlah keseluruhan kepada RM9.576 juta dalam penyerahan akhir ini, yang akan memberi manfaat kepada 45 rumah ibadat di seluruh negeri,” katanya.

Beliau menambah, untuk tahun ini, sejumlah RM90 juta telah diluluskan oleh UNIFOR bagi manfaat pembinaan atau pemulihan sebanyak 242 rumah ibadat, manakala baki RM20 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan 120 sekolah mubaligh.

Dalam pada itu, beliau juga merancang untuk menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memohon dana tambahan pada tahun depan.

Antara yang hadir ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus dan Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *