KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa rakan-rakan dalam wilayah Pertumbuhan Asean Timur-Brunei Indonesia Malaysia Filipina (BIMP-EAGA) menerokai jaringan kerjasama dalam bidang aeroangkasa.
Beliau berkata, bidang aeroangkasa itu akan mewujudkan banyak peluang kerjasama, perniagaan dan pekerja berkemahiran pada masa depan.
“Kita mahu meletakkan wilayah BIMP-EAGA sebagai wilayah di persada dunia dengan melahir ramai pekerja mahir,” katanya merasmikan Persidangan TVET BIMP-EAGA Keempat di sini, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, kawasan BIMP-AEGA juga harus mencari jalan penyelesaian dalam menangani kesan perubahan iklim yang kini diberi keutamaan oleh Sarawak dalam membangunkan ekonominya.
Sarawak kini giat membangunkan hidrogen hijau dan tenaga diperbaharui sebagai alternatif kepada bahan bakar fossil dalam menangani kesan perubahan iklim dunia, katanya.
Abang Johari menegaskan, membangunkan hidrogen hijau dan tenaga diperbaharui itu merupakan sebahagian daripada peranan Sarawak menangani kesan perbuahan iklim dan dalam membangunkan infrastruktur pula akan menggunakan teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).
Dalam pada itu, tambahanya, Sarawak turut giat membangunkan modal insan untuk memenuhi keperluan pembangunan masa depan.
Persidangan itu, katanya, adalah platform terbaik bagi pelbagai pemegang taruh terdiri kerajaan, industri dan ilmuan di wilayah BIMP-AEGA bertukar-tukar pandangan dalam membangunkan bakat (TVET) untuk kepentingan bersama.
Persidangan selama tiga hari itu menampilkan 22 penceramah daripada pelbagai negara.
Abang Johari turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Sarawak Skills dengan 14 syarikat dan agensi untuk mengadakan kerjasama dalam penerokaan teknologi hijau.
Turut diadakan ialah pertukaran MoU antara Kolej Universiti i-CATS bersama Yayasan Soelthan Moehammad Tsjafioeddin dan antara Institut Automotif dan Kimpalan Sarawak (AWISAR) bersama Prima Merdu Sdn Bhd.
Hadir sama, wakil Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (Pengajian Tinggi dan Inovasi) Datuk Dr Annuar Rapa’ee, Pengerusi Institusi Pembangunan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Adana Jed.
