UNIFOR lulus RM800,000 untuk empat rumah ibadah

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Unit Untuk Agama-agama Lain (UNIFOR) meluluskan peruntukan RM800,000 bagi membantu membangun dan menyelenggara empat rumah ibadah di Lundu di bawah Fasa Keempat 2024.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri bertanggungjawab terhadap UNIFOR, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada peruntukan RM800,000 itu, setiap rumah ibadah terbabit menerima RM200,000.

Beliau berkata, peruntukan untuk empat rumah iabadah terbabit dipohon oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada UNIFOR dan dibuat penilaian sebelum diluluskan.

Peruntukan itu akan digunakan untuk membina dewan pelbagai guna Chapel St. Michale di Kampung Paon Lundu, menaik taraf Chapel St. Matheqw di Kampung Titiakar, Lundu, menaik taraf dan membeli peralatan untuk Gereja St. Thomas di Kampung Sedaing Lundu dan memperbesarkan Chapel Lady dan mengubah Gereja St. Francis Lundu, katanya.

Beliau memberitahu media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi untuk menyerahkan empat keping cek bernilai RM800,000 untuk menjayakan projek berkenaan, di Astana Negeri di sini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang dan Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau.