Kajian sosioekonomi Jelapang Padi Batang Lupar

KUCHING: Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) menandatangani perjanjian bagi menjalankan kajian sosioekonomi di Jelapang Padi Batang Lupar.

SADA melalui Pejabat Residen Bahagian Sri Aman menandatangani perjanjian itu dengan Institut Pembangunan Sarawak selaku juruperunding kajian terbabit yang bertajuk “Greater Together: Pemetaan Ekosistem Pengeluaran Padi di kawasan Jelapang Padi Batang Lupar”.

Perjanjian ditandatangani Pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh dengan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pembangunan Sarawak, Lelia Sim Ah Hua serta disaksikan Pengerusi SADA, Dato Sri Rohani Abdul Karim di Wisma Bapa, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Rohani berkata, antara objektif utama kajian ialah mengumpul profil sosioekonomi petani dan juga pemilik tanah di kawasan tersebut di Daerah Lingga.

“Selain itu, untuk mengenal pasti masalah atau cabaran dalam proses pengeluaran padi di kawasan jelapang padi Batang Lupar,” katanya.

Beliau berkata, kajian juga mencari langkah-langkah yang lebih efektif untuk meningkatkan penglibatan petani dalam penanaman padi menggunakan kaedah dan teknologi moden.

Turut hadir ialah Pegawai Tadbir Khas SADA, Alfred Geling Ason dan Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani.