Rakyat harus kekalkan hak, status Sarawak

KUCHING: Rakyat Sarawak harus mengekal hak dan status Sarawak dalam persekutuan melalui Kerajaan Sarawak yang diketuai Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman berkata, beliau percaya memelihara hak Sarawak dan mengekalkan kuasa negeri mesti berlunaskan undang-undang dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 dan Perlembagaan Persekutuan.

Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong dalam satu kenyataan di sini berkata, dengan perkataan lain, di Malaysia hanya ada seorang Perdana Menteri, Dato Sri Anwar Ibrahim yang memimpin Kerajaan Persekutuan Perpaduan yang Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi sebahagian daripadanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Lina Soo yang mencadangkan supaya jawatan Premier Sarawak digazetkan semula sebagai Perdana Menteri Sarawak.

Lina Soo berkata, ia selaras dengan kedudukan Sarawak sebagai rakan setara dengan Kerajaan Pusat di Semenanjung.

Menurut Fazzrudin, ini bagi menjamin semangat persekutuan Malaysia seperti yang dihasratkan oleh pemimpin terdahulu dikekalkan dan menjaga kestabilan negara.

Beliau yakin di bawah kepimpinan Perdana Menteri dan Premier Sarawak, Malaysia akan terus makmur dari segi ekonomi, pembangunan infrastruktur dan peralihan tenaga dengan sokongan Sarawak.