KUCHING: Peningkatan kesedaran pemain industri berhubung amalan baik dalam tatacara pengambilan pekerja, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang berterusan menyumbang kepada kedudukan Malaysia ke tahap lebih baik dalam Laporan Pemerdagangan Manusia.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, Malaysia mencatatkan rekod lebih baik apabila diletakkan dalam tahap dua atau ‘tier dua’ pada tahun ini.
Sebelum ini, Malaysia berada pada tahap tiga atau ’tier tiga’ selama dua tahun berturut-turut, iaitu 2022 dan 2021 menurut laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS).
”Dengan usaha yang dilaksana Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Sumber Manusia dan semua kementerian serta agensi berkaitan, kita telah dinaikkan ke kedudukan tahap dua pada tahun ini.
”Ini jelas menunjukkan komitmen kita (Malaysia) dalam menekankan amalan terbaik dari segi pengambilan pekerja untuk kita mengelak dan mencegah daripada berlakunya pemerdagangan orang dan juga tenaga buruh paksa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvensyen Membanteras Ekploitasi Pekerja anjuran Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Fadillah memberitahu pemerdagangan manusia ke negara ini adalah dari pelbagai negara sama ada Indonesia, Bangladesh, India dan sebagainya.
Jelasnya, ia berikutan cabaran sempadan negara ini yang luas dan dalam hutan sehingga pernah berlaku kemasukan secara haram manusia ke negara ini.
