SRI AMAN: Kerajaan Sarawak menggalakkan anak-anak negeri ini di perantauan yang memiliki kepakaran untuk kembali berkhidmat kepada tanah air sendiri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan anak perantau perlu diterjemahkan kepada sumbangan nyata kepada pembangunan tanah kelahiran.
Menurutnya, pengalaman, kepakaran serta jaringan profesional yang dimiliki golongan ini mampu mempercepatkan transformasi sosioekonomi komuniti.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi dalam ‎Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Anak Perantau Simanggang, di sini, semalam.
Abang Johari turut memaklumkan Kerajaan Sarawak kekal komited memperkukuh agenda pembangunan negeri dengan memberi penekanan kepada sektor ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui serta industri bernilai tinggi sebagai pemacu pertumbuhan masa depan.
Pada masa sama tegasnya, pembangunan modal insan terus menjadi keutamaan melalui peluasan akses pendidikan dan peluang pekerjaan, selaras dengan aspirasi untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menyokong keperluan industri.
Semua usaha ini menurut beliau adalah untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju, inklusif dan berdaya saing, sekali gus mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk anak perantau kembali dan menyumbang kepada pembangunan negeri.
