SEOUL: Kerajaan Sarawak dan Korea Selatan bersetuju memperkukuhan kerjasama ekonomi khususnya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun, melalui kerjasama tersebut, syarikat-syarikat Korea akan bekerjasama dengan syarikat dari Sarawak khususnya SEDCEnergy dalam program transisi negara tersebut kepada sumber tenaga hijau.
Jelasnya, anak syarikat SEDC akan membekalkan gas hidrogen dan ammonia untuk digunakan di Korea dalam usaha peralihan negara tersebut daripada penggunaan arang batu ke sumber yang boleh diperbaharui.
Menurut Abang Johari, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat antara Kerajaan Sarawak dengan Korea Selatan melalui Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan, semalam.
Terdahulu Premier Sarawak dan rombongan yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Korea Selatan menghabiskan masa satu jam meninjau keseluruhan fasiliti yang terletak di Pulau Yongheung di Selatan kota raya ini.
Beliau diiringi Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain.
