Kerajaan sediakan tangki simpanan air sementara di Kampung Sungai Mata

KOTA SAMARAHAN: Krisis bekalan air yang dihadapi penduduk Kampung Sungai Mata di sini, mendapat perhatian kerajaan apabila Tangki Simpanan Bekalan Air Sementara disediakan.

Tindakan itu sebagai langkah penyelesaian jangka pendek bagi memastikan bekalan air mencukupi.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, pemasangan sistem tangki sementara yang dilengkapi pam serta komponen injap sehala itu mampu meningkatkan tekanan air sehingga meliputi kawasan sejauh kira-kira tiga kilometer, termasuk kawasan hujung kampung.

“Langkah tersebut bagi mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap penghantaran air menggunakan tong atau lori tangki,” katanya ketika ditemui semasa lawatan kerja ke tapak pembinaan tangki berkenaan hari ini.

Lawatan tersebut turut disertai Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang.

Rubiah menjelaskan, sistem itu juga membolehkan pengurusan pengagihan air dilaksanakan mengikut jadual tertentu bagi memastikan bekalan dapat dimanfaatkan secara optimum oleh penduduk.

“Pengagihan air dirancang pada waktu puncak iaitu dari jam 4 pagi hingga 9 pagi serta pada waktu petang hingga malam bagi membolehkan penduduk menggunakan air untuk keperluan harian seperti mandi, memasak serta persiapan ke sekolah dan tempat kerja,” jelasnya.

Tambah beliau, tempoh percubaan bagi sistem tangki dan pam tersebut dijangka mengambil masa kira-kira seminggu sebelum ia beroperasi sepenuhnya.