KUCHING: Sebanyak 1,770 kes remaja hamil direkodkan di Sarawak dalam tempoh Januari hingga Disember tahun lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kes tersebut menurun sebanyak 11.5 peratus.
Katanya, ini juga melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 10 peratus ditetapkan One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) negeri.
“Kita mahu kurangkan kehamilan remaja supaya anak-anak ini tidak berhenti sekolah separuh jalan,” katanya.
Fatimah berkata, langkah tersebut supaya mereka dapat meneruskan pendidikan sehingga sekurang-kurangnya peringkat menengah dan membina masa depan yang lebih baik.
Beliau berkata, bagi memperkukuh pencegahan, OSTPC terus melaksanakan program Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) di sekolah serta Program Randau Pembangunan Sosial di komuniti luar bandar dan pedalaman bersasar di kawasan berisiko tinggi.
Selain itu, menurutnya sebanyak 69.6 peratus kes terbabit berjaya diselesaikan melalui mekanisme rujukan OSTPC pada tahun lalu.
Terdahulu, beliau menyampaikan watikah pelantikan kepada ahli baharu OSTPC bagi sesi 2 Februari 2026 hingga 1 Februari 2028.
