Kes meningkat, kempen perangi cegah vandalisme besar-besaran

KUCHING: Kegiatan vandalisme ke atas aset utiliti dan telekomunikasi di Sarawak menunjukkan peningkatan ketara antara 2022 dan 2023 dengan kerugian mencecah jutaan ringgit.

Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Dato Sri Julaihi Narawi, sebanyak 521 kes vandalisme direkodkan pada 2022 melibatkan aset telekomunkasi, belakan elektrik, air dan edaran gas dengan jumlah kerugian RM3,763,606.
 
“Manakala pada 2023, sebanyak 1,406 kes vandalisme direkodkan melibatkan aset telekomunikasi, bekalan elektrik, air dan edaran gas dengan jumlah kerugian RM19,673,977,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di Menara Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) di sini, semalam.

Sementara bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 45 kes vandalisme direkodkan berbanding 27 kes pada tempoh sama 2023.
 
Jelasnya, Kuching merekodkan kes vandalisme tertinggi, selain Bintulu dan Miri.

Sehubungan itu tambah Julaihi, kementeriannya akan melancarkan Kempen Mencegah Vandalisme secara besar-besaran di Sarawak dalam usaha memerangi tindakan tidak bertanggungjawab tersebut.

“Kempen itu, adalah usaha MUT dalam membendung kegiatan vandalisme ke atas aset utiliti dan telekomunikasi di Sarawak,” katanya.