Pemergian Joanna Felicia mengejutkan – Richard Riot

SERIAN: Warga Serian terkejut dan sangat sedih dengan pemergian mendiang Laskar Kanan Jurulatih Jasmani (JJM), Joanna Felicia Rohna yang terkorban dalam tragedi helikopter di Lumut, Perak Selasa lalu.

Antaranya Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem yang menggunakan penerbangan terawal dari Kuala Lumpur bagi bertemu keluarga mendiang sejurus mendengar berita itu.

“Pemergian mendiang sesuatu mengejutkan, saya terkejut, saya di Kuala Lumpur,” katanya selepas upacara pengebumian mendiang mengikut istiadat TLDM Tanah Perkuburan Kristian Kampung Engkaroh, di sini, pagi ini.

Richard Riot berkata, sehubungan itu beliau mewakili keluarga mendiang berterima kasih kepada pengurusan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan semua anggota tentera terbabit dalam upacara pengebumian.

Turut hadir ialah Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis dan Lt-Jeneral (B) Datuk Stephen Mundaw.